Study in Hungary

Monday, December 7, 2009

Kompleks PERMATA pintar

BANGI 6 Dis. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan akan memperhebatkan pendidikan kanak-kanak yang mempunyai kecerdasan minda (IQ) dan kognitif luar biasa bagi memastikan mereka dapat memperkembangkan kebolehan masing-masing ke peringkat lebih tinggi.

Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan telah memutuskan untuk membina Kompleks PERMATApintar Negara di dalam kawasan kampus Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini bagi memberikan pendidikan khusus kepada kanak-kanak pintar berusia 16 tahun.

Beliau berkata, sebagai permulaan sebanyak 150 kanak-kanak pelbagai kaum akan memulakan pengajian di kompleks terbabit pada 2011 dan jumlah itu akan ditambah sehingga 300 orang pada tahun-tahun akan datang.

''Langkah ini bersesuaian dengan hasrat kerajaan untuk melakukan transformasi sekali lagi terhadap negara kita dan membentuk model ekonomi baru bagi menjadikan Malaysia negara maju yang berpendapatan tinggi.

''Kita akan memperhebat lagi program ini dengan menambah bilangan yang terlibat dan meningkatkan kualiti pendidikan kerana jumlah yang pintar adalah ramai iaitu dengan anggaran tiga hingga lima peratus daripada keseluruhan kanak-kanak di negara ini," katanya.

Beliau berucap merasmikan Perkhemahan Cuti Sekolah PERMATApintar 2009 di UKM di sini hari ini.

Turut hadir isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Naib Canselor UKM, Tan Sri Profesor Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin.

Sebelum itu, Najib turut menyempurnakan upacara pecah tanah kompleks seluas lapan hektar itu dan menanam kapsul masa untuk tempoh 25 tahun yang mengandungi catatan harapan beliau dan Rosmah terhadap program pendidikan pelajar pintar di negara ini.

Pembinaan kompleks itu akan memberi peluang kepada pelajar pintar untuk merasai situasi pembelajaran di menara gading, sekali gus berpeluang mendekatkan diri dengan suasana berkonsepkan penyelidikan.

Projek pembinaan dibahagikan kepada dua fasa dengan fasa pertama dijangka siap 2011 merangkumi bangunan pentadbiran, kelas pembelajaran, bangunan makmal, kafetaria dan dewan serbaguna manakala pembinaan fasa kedua membabitkan sebuah auditorium, dewan makan, asrama, bangunan kelas pembelajaran, makmal dan kolam renang.

Selain menitikberatkan orientasi pembelajaran dalam bangunan, kompleks itu mengambil kira suasana pembelajaran kondusif meliputi interaksi sesama manusia dan alam semula jadi.

Menurut Najib, langkah menyediakan pendidikan khusus untuk kanak-kanak pintar adalah bagi memenuhi ruang kosong yang wujud berikutan kerajaan kini hanya memberikan tumpuan kepada pelajar biasa dan mereka yang memerlukan pendidikan khas kerana cacat.

Menurut beliau, program kedua yang telah dibuat untuk pelajar pintar ialah mengadakan perkhemahan cuti sekolah dengan kerjasama Universiti John Hopkins, Amerika Syarikat di UKM yang melibatkan 405 kanak-kanak berusia sembilan hingga 15 tahun dari 30 November hingga 18 Disember ini.

''Saya lihat kanak-kanak yang menyertai program ini telah menunjukkan kebolehan memberangsangkan termasuk tahu memecah kod rahsia dan saya yakin mereka boleh menjadi saintis yang bekerja dalam perisikan tentera.

''Terdapat di kalangan mereka yang sudah tahu bagaimana hendak mereka bentuk 'roller coaster' robot dan juga mengkaji bagaimana taufan terhasil yang amat berguna bagi menghadapi fenomena perubahan cuaca,'' katanya.

Kata beliau, bakat kanak-kanak berkenaan kalau dipupuk dan dikembangkan secara saintifik akan membolehkan lahir satu generasi baru rakyat Malaysia yang lebih berkemampuan dalam semua aspek.

''Langkah ini dibuat kerana kita sedar bahawa dalam membentuk sebuah tamadun yang gemilang, maka tiang seri mesti merupakan proses pembelajaran dan pengajaran yang boleh melahirkan masyarakat yang berteraskan ilmu.

''Kita juga sedar bahawa empayar yang boleh bertahan lama bukan yang menggunakan kekuasaan ketenteraan tetapi yang berasaskan kekuatan minda,'' ujarnya.

No comments:

Sukhoi History