Study in Hungary

Monday, December 7, 2009

Generasi muda khazanah tidak ternilai - Rosmah

PORT OF SPAIN 29 Nov. - Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor hari ini mengajak dunia yang mahu menjadikan bumi ini lebih hijau supaya turut merancang pelaburan terhadap pendidikan awal kanak-kanak.

Berucap pada majlis dialog isteri-isteri ketua kerajaan Komanwel di sini malam ini, beliau berkata, generasi muda bakal mewarisi bumi dan merekalah yang bertanggungjawab memuliharanya untuk generasi seterusnya.

"Pemimpin lalu mungkin tidak mendapat faedah daripada pengetahuan sainstifik yang diperoleh sekarang iaitu antara sebab mengapa mereka tidak memberi tumpuan kepada pemuliharaan alam sekitar.

"Bagaimanapun, pemimpin masa depan boleh dididik dari sekarang dengan data dan maklumat yang diperolehi kini," katanya yang berucap atas tajuk Pembinaan Masa Depan Melalui Penjagaan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak.

Rosmah yang berkongsi semangat dan komitmen menjayakan Program Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak (Permata) berkata, generasi muda adalah khazanah yang tidak ternilai harganya dan menjadi permata untuk masa depan.

"Kanak-kanak yang akan menjadi pemimpin masa depan bukan saja berjaya dalam akademik dan kurikulum tambahan, tetapi memahami peranan sebagai manusia untuk mengekalkan ekosistem bumi.

"Justeru kita perlu melengkapi kanak-kanak dengan kesedaran dan pengetahuan untuk memulihara bumi melalui penggunaan sains serta teknologi menerusi aktiviti harian," katanya.

Rosmah berkata, dalam usaha memulihara alam sekitar kanak-kanak perlu memahami mengenai kepentingan budaya 'hijau'.

"Sekiranya majoriti daripada kita sekarang tidak melakukan kitar semula dan tidak sedar mengenai tindakan yang mencemarkan dunia, mari kita pastikan kanak-kanak melakukan tindakan sepatutnya dilakukan untuk memulihara alam," jelas beliau. -- Utusan

No comments:

Sukhoi History